Cinta Palsu

Pertengahan 2014, aku telah diterima masuk ke sebuah kolej matrikulasi di bahagian utara Malaysia. Pertama kali berjauhan dengan keluarga. Semuanya normal. Pergi kelas, balik kelas. Sehinggalah tiba bulan Ramadan, aku sambut bulan puasa sebulan di kolej. Dua hari sebelum raya baru balik. Ceritanya, aku jatuh cinta dengan seorang lelaki sewaktu tu. Yang aku ingat, aku mula tertarik dengan dia bila waktu tu solat terawikh, dia baca takbir selang setiap solat. Suara dia bertenaga dan jelas. Kalau mengantuk masa solat pun boleh segar dengan kekuatan suara dia tu. Aku rasa itulah bulan puasa yang paling bermakna dalam hidup aku. Sebab bila aku kat rumah aku tak berkesempatan pun nak buat solat terawikh dan sebagainya sebab sibuk tolong mak aku berniaga.

Aku ingatkan normal lah tu suka dia. Budak baik kan. Tapi makin lama, perasaan aku pada dia jadi makin serius. Aku jenis kalau dah suka sesuatu, boleh jadi sampai obses. Yeah, aku obses pada dia. Aku gilakan dia. Aku nak dia jadi suami aku. Gila apatah. Sebab dia baik dan sangat baik. Haha.

Dia budak surau. Memang selalu nampak muka dia la kat surau. Aku tahu satu-satunya cara untuk aku dekat dengan dia adalah dengan pergi ke surau. Jadi semenjak habis cuti raya, aku banyak luangkan masa aku di surau. Kalau hari cuti, boleh kata satu hari aku duduk di surau. Sebab setiap kali waktu solat, dia akan solat dekat surau. Surau tempat aku pulak jenis terdedah. Bahagian tepi ruang solat perempuan tak ada langsir. Jadi boleh nampak dengan jelas budak lelaki lalu lalang dekat tepi surau untuk ambil wuduk. Dan aku memang selalu tanpa sengaja tertengok dia. Haha.

Waktu tu aku selalu nafikan dalam hati bila aku sedar aku pergi surau sebab dia. Aku fikir aku buat ni sebab Allah. Aku sorok kenyataan tu daripada diri aku sendiri. Aku jadi terlampau baik masa tu. Aku berubah. Tapi aku tak berubah kerana Allah. Aku berubah sebab aku nakkan dia.

Kalau kita berubah untuk jadi lebih baik bukan kerana Allah, percayalah perubahan tu takkan kekal. Semuanya sia-sia je. Sebab itulah yang terjadi pada aku. Bila tanpa sengaja budak kelas tahu aku suka dia, aku jadi takut sendiri. Aku takut diorang judge aku. Aku takut kalau-kalau terdetik dalam hati diorang, budak ni rajin pergi surau sebab lelaki je rupanya.

Aku ambil jalan mudah, aku berhenti pergi surau dalam 2 bulan terakhir dekat kolej. Aku sendiri tak tahu keputusan yang aku ambil tu betul ke tak. Sebab tu kalau kita nak berubah ni jangan kerana manusia. Sebab manusia tu sendiri sifatnya suka berubah-ubah. Tak tetap.

Itu dulu. Kalau dulu, aku diuji dengan si soleh. Sekarang, aku diuji lagi. Tapi aku diuji bila aku jatuh cinta pada pemaksiat. Semuanya gara-gara aku sendiri juga. Aku pernah gah dulu kerana aku tak suka dengar hiburan yang melalaikan. Mungkin aku terlalu bangga diri. Jadi sekarang aku diuji. Dan masih diuji.

Aku obses pada artis. Hari-hari aku dengar lagu, tengok video, baca novel (fanfiction) pasal artis yang aku suka. Aku ada dalam dunia aku sendiri. Sampai kadang-kadang aku fikir, hanya diorang yang boleh buat aku gembira. Kalau aku rasa sunyi, aku akan bukak youtube dan layan video pasal diorang sampai berjam-jam. Aku mula fikir takde orang yang faham perasaan aku. Aku mula rasa awkward bila kena jumpa orang. Sebab aku dah biasa hidup dalam angan-angan.

Yasmin Mogahed pernah cakap, “The moment we love anything more than our creator, that thing we love more.. will become the cause of our greatest pain.”

Dan seperti biasa, aku nafikan perasaan aku sendiri lagi. Aku sepatutnya berhenti sekarang. Berhenti mencintai orang yang tak sepatutnya. Tapi aku degil. Aku tahu satu hari nanti aku akan terluka kerana diorang.

Yang menakutkan aku sekarang ni bila aku tak berhenti baca fanfiction. Apa yang kita baca akan mempengaruhi cara kita berfikir. Aku boleh kata aku banyak baca cerita berkisar tentang LGBT. Aku baca, tapi aku masih rasa jijik dengan benda tu. Yang aku takut sekarang kalau Allah uji aku lagi. Setakat ni aku masih normal tapi aku takut satu hari nanti aku berperasaan songsang. Semoga Allah jauhkan. Aku masih sayang agama aku. Dan moga aku takkan menggadaikannya untuk sesuatu yang tak berbaloi.

Cara aku berfikir sekarang jadi lain sejak dua menjak ni. Aku rasa aku terlampau terdedah dengan golongan LGBT ni. Maksud aku, kalau tengok sekarang ni sangat banyak artis Hollywood lelaki yang jadi gay. Aku mula fikir menjadi gay itu kebiasaan. Aku harap aku mampu meneutralkan semula cara aku berfikir nanti.

Aku belum terfikir untuk berhenti dengan obsesi aku ni dalam masa terdekat. Entahlah. Macam mana kalau Allah tarik nyawa aku masa aku sibuk cintakan dunia? Hati aku degil. Aku berkeras nak kekal dengan semua ni. Aku gagal mendidik hati aku sendiri. Aku gagal kawal nafsu aku. 

Moga satu hari nanti hati aku kuat semula untuk keluar dari semua masalah ni. 

Doakan aku.

Comments

Post a Comment

Popular Posts